Pengenalan Kewangan Islam di Malaysia

Industri Perbankan Islam

Perbankan Islam merujuk kepada sistem perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam atau juga dikenali sebagai undang-undang Syariah. Prinsip-prinsip asas yang menguasai perbankan Islam ialah saling berkongsi risiko dan keuntungan antara kedua-dua pihak, jaminan keadilan untuk semua dan urus niaga yang dijalankan itu adalah berdasarkan aktiviti perniagaan atau aset asas.

Prinsip-prinsip ini disokong oleh nilai-nilai teras perbankan Islam yang menggalakkan aktiviti yang memupuk keusahawanan, menjana perniagaan dan perdagangan serta menghasilkan pembangunan kemasyarakatan atau manfaat. Aktiviti yang melibatkan faedah (riba), perjudian (maisir) dan urus niaga spekulatif (gharar) adalah dilarang.

Dengan memanfaatkan pelbagai konsep kewangan Islam seperti ijarah (sewa beli), mudharabah (perkongsian keuntungan) dan musyarakah (perkongsian),institusi perbankan mempunyai fleksibiliti, kreativiti dan pilihan yang lebih banyak dalam menghasilkan produk-produk kewangan Islam. Selain itu, dengan menekankan bahawa keperluan terhadap urus niaga harus disokong oleh aktiviti berkaitan perdagangan atau perniagaan, perbankan Islam menetapkan standard yang lebih tinggi bagi pelaburan dan menggalakkan kebertanggungjawaban dan pengurangan risiko yang lebih besar.

Kewangan Islam telah berkembang dengan begitu pesat sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 1970-an. Aset perbankan Islam global dan aset di bawah pengurusan kewangan Islam pada masa ini telah mencapai USD750 bilion dan dijangka mencecah USD1 trilion pada 2010.1

Kini, terdapat lebih daripada 300 institusi kewangan Islam di 75 buah negara di seluruh dunia. Menurut Asian Banker Research Group, 100 bank Islam terbesar di dunia telah mencatat kadar pertumbuhan aset tahunan sebanyak 26.7%2 dan industri kewangan Islam global mencatat pertumbuhan purata 15-20% setiap tahun.3

Industri kewangan Islam di Malaysia telah beroperasi lebih daripada 30 tahun yang lalu. Penggubalan Akta Bank Islam 1983 telah membolehkan Bank Islam yang pertama ditubuhkan dan seterusnya lebih banyak institusi kewangan Islam telah ditubuhkan di dalam negara berikutan liberalisasi sistem kewangan Islam.

Kejayaan Malaysia membangunkan industri kewangan Islam domestik dalam tempoh lebih daripada 30 tahun telah memberikan asas yang kukuh kepada negara - asas kukuh kestabilan kewangan yang melengkapkan kekayaan, kepelbagaian dan kematangan sistem kewangan Islam. Pada masa ini, aset perbankan Islam Malaysia mencapai USD65.6 bilion dengan kadar pertumbuhan purata 18-20% setiap tahun.4

Pada masa ini, kewangan Islam berkembang pesat di Malaysia, disokong oleh persekitaran yang kondusif yang terkenal dengan inovasi produk berterusan, yang berbagai rangkaian instrumen pelaburan Islam, infrastruktur kewangan yang komprehensif dan menerima pakai amalan terbaik pengawalseliaan dan undang- undang global. Malaysia juga memberikan penekanan yang penting kepada pembangunan modal insan dalam pembangunan industri kewangan Islam bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir dalam kewangan Islam. Semua tawaran nilai ini telah mentransformasikan Malaysia menjadi salah satu pasaran perbankan Islam yang paling maju di dunia. kepelbagaian institusi kewangan

Liberalisasi yang pesat dalam industri kewangan Islam, di samping persekitaran yang memudahkan urusan perniagaan telah mendorong institusi kewangan asing memilih Malaysia untuk menjalankan perniagaan perbankan Islam. Ini telah dapat memupuk komuniti institusi kewangan tempatan dan antarabangsa yang pelbagai dan semakin besar.

Kini, Malaysia mempunyai sebilangan besar bank Islam sepenuhnya termasuk beberapa entiti milik asing; institusi konvensional yang telah menubuhkan subsidiari Islam dan juga entiti yang menjalankan perniagaan mata wang asing. Semua institusi kewangan diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan dalam ringgit dan bukan ringgit.

Malaysia terus berkembang maju dan akan membangunkan industri ini dengan menggalakkan institusi kewangan asing untuk menubuhkan perniagaan perbankan Islam antarabangsa di Malaysia bagi menjalankan perniagaan mata wang asing.

Institusi kewangan Islam domestik juga boleh memohon untuk menubuhkan Unit Perniagaan Mata Wang Asing (UPMA), iaitu bahagian khusus untuk menjalankan perniagaan mata wang asing. UPMA juga diberikan pelbagai insentif cukai dan keistimewaan yang dapat mengurangkan kos perniagaan dan memudahkan untuk memasuki pasaran perniagaan kewangan Islam dalam mata wang asing. Untuk maklumat lanjut mengenai prosedur penubuhan dan permohonan UPMA, sila hubungi Sekretariat MIFC.

  1. Mckinsey, The World Islamic Banking Competitiveness Report 2007-08, "Capturing The Trillion Dollar Opportunity"
  2. Ibid
  3. Ibid
  4. Bank Negara Malaysia: Statistik Perbankan tahunan 2007